Kesedian murid belajar membawa maksud keadaan dalam individu yang bersedia dan berupaya untuk mempelajari sesuatu dengan tujuan memperolehi pengalaman pembelajaran yang baru. Piaget (1996), mengaitkan kesediaan belajar dengan peringkat perkembangan kognitif murid. Apa jua perkara yang dapat disampaikan secara berkesan kepada kanak-kanak pada bila-bila peringkat perkembangannya (Brunner, 1966). Oleh itu, kesediaan murid belajar juga boleh didefinisikan kepada tahap kesediaan pelajar sewaktu belajar perlu dianalisis oleh guru-guru. Melalui tahap yang dikaji, guru-guru dapat mengatasi masalah yang tidak diingini seperti berlakunya konflik semasa sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Menurut Siti Nurliyana (2015) pula, menyatakan bahawa kesediaan merujuk kepada satu bentuk proses yang melibatkan pengintegrasian aspek fizikal, mental dan emosi seseorang murid semasa melaksanakan sesuatu tindakan. Sebagai contoh, murid yang sudah bersedia untuk belajar mampu memahami dan menghayati sesuatu pelajaran dengan lebih mudah berbanding dengan murid yang masih belum bersedia di mana kesannya akan menyebabkan mereka keliru di akhir pembelajaran. Secara jelas kesediaan dapat difahami apabila seseorang berupaya untuk memulakan sesuatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
Kesediaan murid belajar telah dibahagikan kepada tiga jenis iaitu :
- Kesediaan Afektif
- Kesediaan Kognitif
- Kesediaan Psikomotor
Kesediaan afektif ialah suatu kesediaan yang merujuk kepada sikap, keinginan, ketekunan, perasaan, minat dan nilainya untuk menerima pelajaran yang disampaikan. Hal ini demikian, dapat dilihat melalui sikap sikap kesedaran, minat, prihatin dan bertanggungjawab murid tersebut kesungguhan melaksana aktiviti pembelajaran yang diberikan oleh guru. Sebagai contoh, pelajar yang bersikap positif dan berminat terhadap pelajaran akan memainkan peranan yang aktif dan agresif dalam aktiviti itu. Kesediaan afektif juga dapat dikaitkan dengan motivasi intrinsik. Menurut pendapat yang dikemukakan oleh Stanford (1971) bahawa pembelajaran dipengaruhi oleh sikap, dan bukan oleh berapa kali seorang pelajar mengulang kaji bahan pembelajarannya.
Kesediaan kognitif pula ialah suatu yang berkait rapat dengan mental untuk memahami dan juga untuk berfikir. Selain itu, kognitif juga satu proses mental mengubah input sensori kepada bentuk yang lebih bermakna dengan merekod, menyimpan dan menggunakan semula maklumat yang sedia ada. Menurut Piaget dalam Teori Perkembangannya, perkembangan intelek seseorang adalah berkadar secara terus dengan pertambahan umurnya. Sebagai contoh, murid-murid sekolah rendah hanya bersedia untuk belajar operasi konkrit (kesediaan kognitif rendah). Apabila memasuki sekolah menengah, mereka mula sanggup dan bersedia untuk belajar operasi kompleks (kesediaan kognitif tinggi). Oleh itu, seseorang pelajar telah bersedia dari segi kognitifnya apabila pencapaian ilmiahnya setimpal dengan usaha dan latihan yang diperlukannya.
Kesediaan yang terakhir ialah kesediaan psikomotor. Kesediaan ini merujuk kepada penguasaan kemahiran yang berpusat kepada tindakan fizikal termasuklah perkembangan fizikal, iaitu fungsi anggota dan pengawalan, penyelarasan serta penggerak di dalam seluruh tubuh badan. Hal ini juga merujuk kepada potensi atau kematangan fizikal dan kesediaan untuk melakukan proses pembelajaran yang baru. Peringkat psikomotor kanak-kanak adalah berbeza bergantung kepada perkembangan fizikalnya. Ini dapat dilihat melalui aktiviti-aktiviti yang memerlukan koordinasi pergerakan otot seperti mengikat tali kasut, melukis, menulis dan sebagainya. Kesediaan psikomotor yang tinggi dapat menentukan koordinasi otot seseorang individu dengan sempurna serta dapat memenuhi keperluan asas manusia.
Antara faktor yang mempengaruhi kesediaan pelajar ialah kematangan dan pengalaman. Kematangan fizikal, sosial, mental, emosi, motivasi dalaman dan kemahiran asas dalaman merupakan diantara kategori bagi faktor kematangan seseorang individu. Kesediaan pelajar juga mempunyai masalah perbezaa, antaranya ialah perbezaan perkembangan mental, sikap dan minat, kadar pertumbuhan fizikal, keyakinan diri, jantina dan perbezaan dalam diri sendiri. Perkembangan mental yang wujud secara semulajadi ini sedikit sebanyak memberi masalah kepada guru dalam melayani mereka. Murid yang meminati sesuatu subjek atau sesuatu perkara akan mencapai prestasi yang baik dan cemerlang manakala guru akan menghadapi masalah dalam memilih bahan, isi kandungan dan alat bantu mengajar. Bagi kadar pertumbuhan fizikal pula wujud kerana setiap individu mempunyai corak pertumbuhan unik masing-masing. Contohnya, kanak-kanak dalam umur yang sama tidak akan mempunyai kebolehan yang sama dan ini akan membuatkan guru mereka susah untuk merancang pelajaran yang dapat memberi kepuasan kepada murid. Murid-murid yang datang dari pelbagai latar belakang turut menjadi kekangan kepada kesediaan belajar, contohnya pelajar yang ekonomi keluarganya tidak stabil akan mengalami gangguan dalam menuntut ilmu. Pelbagai status ekonomi yang pelbagai akan membina keyakinan diri yang berbeza. Seterusnya, pelajar lelaki dan perempuan memiliki perkembangan biologi dan fizikal yang berbeza. Pertumbuhan pada peringkat remaja bagi perempuan adalah berkembang lebih pesat dan mencapai kedewasaan berbanding lelaki. Selain itu, masalah kesediaan pelajar berpunca daripada pengaruh nilai kebudayaan terhadap jantina dan sebagai seorang guru perlu menyedari perbezaan jantina tersebut ketika membuat perancangan dalam pembelajaran. Bagi perbezaan dalam diri individu pula menunjukkan kebolehan yang berbeza dalam bidang tertentu.
Berdasarkan hasil pemerhatian kumpulan saya iaitu kumpulan 2, di SMK Tun Perak,
pelajar-pelajar telah menunjukkan elemen kesediaan untuk belajar semasa proses
pengajaran dan pembelajaran dilangsungkan. Mereka bersedia untuk menerima
pengajaran yang baharu daripada guru. Dengan ini, kumpulan kami juga mendapati
pelajar-pelajar telah menujukkan minat yang mendalam terhadap pembelajaran,
iaitu mereka dapat memberikan perhatian yang sepenuhnya semasa guru sedang
menyampaikan pengajaran. Pengetahuan dan pengalaman yang sedia ada dalam diri
pelajar telah menyebabkan mereka mampu menghadapi pembelajaran yang baharu dan
seterusnya memudahkan aktiviti pembelajaran berlaku di mana kumpulan kami
mendapati bahawa proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan
lancar di dalam bilik darjah.
|
RUJUKAN :
Amin Molek. (2017). Kesediaan Belajar, Persepsi dan Penanggapan. Institut Pendidikan Guru,
Kementerian Pendidikan Malaysia. Diperoleh daripada http://edup3033.aminteach.com/2017/03/08/kesediaan-belajar-persepsi-dan-penanggapan/
Tuan Rahayu Tuan Lasan, Mohd Aderi Che Noh & Mohd Isa Hamzah. (2017).
Pengetahuan, Sikap dan Kesediaan Murid Terhadap Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam Mata Pelajaran Tasawwur Islam. Tinta Artikulasi Membina Ummah, 3(1), 18-19. Diperoleh daripada http://www.journaltamu.com/wp-content/uploads/2017/07/TAMU-Vol-31-June-2017-2.pdf
No comments:
Post a Comment